| |
TITAH TUANKU PENGERUSI
Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakahtuh
Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang ditubuhkan pada 11 haribulan Mei 2005 kini sudah berusia hampir tiga tahun. Sebagai sebuah badan amal, YDSM bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Sekalipun sebuah Yayasan yang baru, YDSM dalam tempoh ini telah memainkan peranan positif dan proaktif dalam menyokong dan mendukung usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pihak-pihak lain untuk malaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan bagi memajukan taraf hidup rakyat dan kemakmuran Negeri Terengganu. Dalam merancang dan melaksanakan pelbagai program dan projeknya, YDSM berpegang pada prinsip tidak melakukan penindihan dengan apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak lain, khususnya Kerajan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Sukacita Beta maklumkan bahawa antara projek penting yang telah dilancarkan pada tahun 2005 dan diteruskan sehingga hari ini oleh YDSM ini ialah Projek Takaful Nelayan, Projek Usahawan Tani Fertigasi dan Program Kraf Seni Warisan. Antara projek-projek ini, Program Kraf Seni Warisan antara yang paling berkesan dan berjaya mencapai matlamatnya. YDSM juga telah melaksanakan projek bantuan meningkatkan kesihatan bagi golongan yang memerlukan. Antaranya ialah bantuan kepada kanak-kanak cleft (cacat bibir) serta bantuan kepada kanak-kanak sekolah dan warga tua. Beta mengharapkan pelaksanaan pelbagai projek ini dapat dimulakan tidak lama lagi pada masa depan.
Dengan tujuan memperkayakan khazanah sejarah dan warisan budaya Negeri Terengganu, YDSM juga telah memulakan projek Penyelidikan, Pendokumentasian dan Penerbitan mengenai Susur Galur Kesultanan Melayu Terengganu, Adat Istiadat Kesultanan Melayu Terenganu, Inventori Pelbagai khazanah Istana Terengganu serta Penerbitan Warisan Senibina Terengganu. Projek-projek ini memerlukan masa yang agak lama tetapi kesemuanya dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2008 mengambil semperna Ulangtahun ke-300 Kesultanan Melayu Terengganu. Langkah ini amat bersesuaian dan tepat pada masanya kerana dengan cara ini, kekayaan dan keistimewaan sejarah dan budaya negera ini dapat diketengahkan kepada seluruh negeri dan juga dunia.
Di bidang kesukanan, YDSM telibat sebagai penganjur FEI World Endurance Champianship 2008 yang akan berlangsung di Terengganu International Endurance Park bersemperna Tahun Melawat Terengganu pada tahun 2008. Usaha ini telah dimulakan pada tahun 2005. YDSM amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberi komitmen penuh bagi menjayakan projek ini.
Akhir kata, Beta ingin menegaskan bahawa YDSM ini dapat ditubuhkan dan menjalankan pelbagai program dan aktivitinya berkat dukungan dan kerjasama semua pihak. Selaku Pengerusi Beta amat bersukacita serta ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM serta kepada kakitangan YDSM yang telah berusaha merancang dan melaksanakan pelbagai dan projek YDSM. Beta juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Seri Idris bin Jusoh, yang memberikan sokongan padu kepada YDSM. Selain itu, Beta juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua agensi, syarikat dan badan lain serta orang perseorangan yang memberikan sokongan dan sumbangan ikhlas masing-masing untuk membangunkan tabung YDSM.
Sekian, terima kasih,
DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud
Al-Muktafi Billah Shah.
|